Tuesday, August 18, 2009

Bila teman meninggalkan kita...

Kematian: ia bukan topik cereka untuk menakut-nakutkan orang, tapi ada yang fikir begitu. Ia sama sekali tidak ada rasa apa-apa bila orang yang hampir dengannya mati...ini orang yang keras hatinya dan bodoh. Sabda Rasulullah dalam hal ini: “Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya, mereka itulah orang yang cerdik, yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat.” Riwayat Ibnu Majah dan Ibn Abiddunia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah dan kepadaNya kami kembali”
Surah Al-Baqarah ayat 156.

Ambillah iktibar kematian sahabat-sahabat kita sebagai penggera untuk kita tampil pada hari-hari yang mendatang dengan amalan yang di sukai Allah sepertimana yang ditunjuk Rasulullah.

Sedang matahari tiap hari bertanyakan Allah, "Wahai Allah.. hari ini arah manakah akanku terbit? maka Allah menjawab, "Naiklah dari arah timur dan turunlah ke barat". Matahari yang sekian hari memberi khidmat kepada kita pun masih bertanyakan Allah untuk kerja-kerja yang sudah rutin baginya. Apakah kita begitu? Apakah amalan kita begitu?

"dan matahari berjalan ditempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui". Surah Yassin ayat 38.


Maka teringat sebuah lagu lama dari Group nasyeed As-Shoff>>yang sangat menyentuh....

Kematian melanda, tanpa dapat diduga>kehilangan terasa menyentuh jiwa>panggilan kepadaNya tak mampu berdolak kata>pasrahlah menerima ketentuan dari yang Esa>Gentarnya terasa bila teman meninggal kita>terasa dekat pusingan takdir menjengah kita>Gentarnya mengoncak jiwa>bila menghitung amalan di dada>miskin kedananya kita>hanya dosa dan lumuran bebanan noda>Gentarnya...mengadapMu dalam kepincangan>sedang hanya selangkah cuma IsrailMu menanti tibanya masa..oh tuhan...


Tuesday, August 11, 2009

Berkhayallah kerana Allah...


Apa yang kita ingin hari ini adalah sesuatu yang sukar dijangka. Menurut nafsu kita, maka semua yang ada dalam dunia ini ingin kita miliki.Ahh! salahkah?. Jika kita tidak berharta, tapi kita berkhayal begini: jika aku kaya pasti aku akan menginfakkan sebahagiannya seperti si fulan yang kaya itu. Maka, ini tidak menjadi kesalahan.

Abdullah bin Zubair berkata: "Aku ingin memiliki wilayah Hijjaz dan menjadi Khalifah". Mus'ab bin Umair berkata: "Aku ingin menguasai wilayah Iraqain (Kufah dan Basrah). Abdul Malik bin Marwan berkata: "Aku ingin memiliki seluruh wilayah bumi dan aku ingin menjadi khalifah selepas Mu'awiyah. Urwah bin Zubair: "Aku ingin menjadi seorang alim yang banyak beramal, menjadi sumber manusia mempelajari kitabullah dan sunnah Rasulullah serta hukum hakam agama mereka. Lalu aku unggul di akhirat dengan redho Allah dan syurganya.

Keinginan dan cita-cita empat tokoh ini bukan sekadar khayalan kosong. Tapi mereka menjalani hidup dengan melakukan usaha untuk memperolehi cita-cita mereka itu. Akhirnya mereka berjaya dengan cita-cita masing-masing.

Begitulah orang-orang yang sukses hidup dengan mimpi mereka sampai menjadi kenyataan. "Mimpi hari ini, adalah kenyataan hari esok" Maka, berkhayallah dengan sesuatu yang positif.

Wednesday, August 5, 2009

Sebuah Pesan dari makna Asma Allah, juga Pesan Ramadan Orang Soleh

1. Dengan NamaMu Aku Hidup; Asmaul Husna-Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Penulis buku ini tanpa jemu menyuluh segala sudut dari segala ruang kemungkinan yang termampu dari segala sudut kesamaran sifat Tuhan yang mungkin boleh berlaku. Pada kali ini seolah-olah dia mahu memberi yang terbaik tanpa syarat; apa jua yang bertakung dalam dasar kantung keilmuan. Jika adalah buku yang sehabis terperinci, yang pernah lahir; menyentuh dan berbicara tentang Asma ul-Husna; maka barangkali inilah bukunya.
Harga: RM17.00/RM20.00

2. Nasihat Ramadan Orang-Orang Soleh- Sulthan Hadi

Dengan berhenti dan bermuhasabah, barangkali Ramadan pada tahun ini akan menjadi lebih bermakna. Inilah penggera yang datang untuk mengejutkan kealpaan insan setiap kali ombak Ramadan berkunjung ke pasir kehidupan. Dalam wajah penasihat yang seramah ini, izinkan buku ini mengambil tempat di rak buku di kediaman tuan. Tidak salah ia menumpang.
Harga: RM17.00/RM20.00

Saturday, July 25, 2009

Pesta Buku Negeri Selangor 2009, miliki ilmu yang tertinggal...

Pesta Buku Negeri Selangor 2009 yang sedang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam hingga 3 Ogos 2009 dengan jumlah sasaran pengunjung seramai 400,000 orang. Pesta Buku Negeri Selangor merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dilantik sebagai Urus Setia Tetap Pelaksana Pesta Buku Negeri Selangor dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media, penerbit dan persatuan penulis. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh YB Dr. Halimah.

Menurut sembang kawan-kawan pempamer, pesta buku Selangor kali agak kurang sambutan berbanding tahun yang sebelumnya. Saya pun mencelah, "mujur saya tak masuk". Tapi sebenarnya, saya pun mengambil bahagian dengan membekal buku-buku saya kepada kawan-kawan yang mempamer.

Jika anda berada di sana, pasti anda akan terperasan light box yang ada wajah manis Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di sudut-sudut tertentu. Tapi jangan buat-buat lupa untuk miliki ilmu dari Tok Guru, dengan membeli naskah terbaharu bertajuk "Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam".

Selamat membeli, miliki ilmu yang tertinggal...

Monday, July 20, 2009

Nyawa mereka dan nyawa kita sama nilainya


Diceritakan Qais bin Saad dan Sahl bin Huniaf berkata;

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامَ فَقِيلَ إِنَّهُ يَهُودِيٌّ فَقَالَ أَلَيْسَتْ نَفْسًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW telah dilalui oleh satu jenazah. Apabila melihat itu, nabi SAW berdiri. Diberitahu kepada baginda, bahawa jenazah itu adalah seorang yahudi. Nabi SAW menjawab, ’bukankah ia adalah manusia? -Sahih Muslim : 1596.

Dokrin lama, selalu bermain dalam kepala orang Melayu Islam. Ungkapan-ungkapan yang memperlekeh orang bukan Islam dah terbenam kukuh dalam minda kita. Contoh: sekiranya berlaku kemalangan atau kematian, kita akan bertanya, "siapa tu? orang kita ke? kalau bukan orang melayu atau jawapannya " cina! "maka kita akan menjawab, "biar lah" ataupun "usah pedulikan". Hadis di atas adalah jawapan bagi persoalan yang saya lontarkan.

Maka, tidak adil bagi kita sebagai orang Melayu Islam masih lagi mengajar atau menyimpan rasa-rasa atau sifat memperlekeh bangsa lain@agama lain. Islam tidak mengajar begitu.

Teoh Beng Hock dan Kugan yang mati dalam tahanan>>mereka juga manusia. Nyawa mereka dan nyawa kita sama nilainya. Jangan fikir yang bukan-bukan!

Friday, July 17, 2009

Aku tiada makna bagi kamu

Aku tiada makna bagi kamu
Aku tiada makna bagi yang tak kenal aku
Tapi...
Aku bermakna buat ayahku
Aku bermakna buat ibuku

Mungkin...
Aku tiada makna bagi kamu
Kerna aku tidak bisa buat kamu senyum
Aku tiada makna bagi kamu
Kerna aku yang tak perasan kamu senyum
Tapi...
Aku bermakna buat isteriku
Aku bermakna buat anak-anakku
Kerna aku puas bila mereka senyum
Dan aku pun belajar senyum

Aku mencari makna-makna itu
Rupanya tiada makna yang terjumpa

Aku buat selamba...

Abu Marwan alAdib

Thursday, July 16, 2009

"Mutiara Minda" ruang untuk buku melayu

Dulu sekitar awal 90an, amat payah mencari buku-buku melayu di MPH Bookstore. Orang seperti saya yang hanya ada pandang sisi saja pada bahasa Inggeris, hanya baca tajuk aje lah!. Bila masuk MPH masa tu rasa asing, sebabnya macam saya sebut tadi. Satu lagi sebabnya, bukunya agak mahal. Nak beli buku kena pergi kedai tradisional atau kedai mamak.

Zaman berubah, susasana berbeda. Nilai bertambah, jiwa kian besar. Orang macam saya tidak rasa kerdil lagi bila cari buku di MPH. Rasa dah ada duit pun ada, rasa teruja pun ada. Rasa bangga pun ada. Entahlah, itu hakikatnya bila kita dah terjebak dengan dunia buku ni.

Petang tadi saya melihat-lihat pelancaran Pesta buku MPH yang diwar-warkan dengan nama "MUTIARA MINDA". Ia berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Wah! sungguh hebat sekarang buku-buku melayu. Udah dipeduli oleh mereka. Bagus bagus... buku saya pun boleh tompang sekaki. Tahniah MPH!