Sunday, January 31, 2010

Bertanyalah...

Sedangkan matahari tiap hari bertanyakan Allah, "Wahai Allah.. hari ini arah manakah akanku terbit? maka Allah menjawab, "Naiklah dari arah timur dan turunlah ke barat". Matahari yang sekian hari memberi khidmat kepada kita pun masih bertanyakan Allah untuk kerja-kerja yang sudah rutin baginya. Apakah kita begitu? Apakah amalan kita begitu?

"dan matahari berjalan ditempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui". Surah Yassin ayat 38.

Friday, January 29, 2010

Ya Allah... aku suka!

Dalam segala kondisi dan urusan, kita tidak boleh lepas dari kehendak Allah dan Rasulnya. Kehidupan peribadi masing-masing berubah dari satu keadaan ke keadaan yang lainnya. Hakikat kehidupan yang wajib disyukuri. Bila sendawa kekenyangan kita ucap alhamdulillah, semasa lapar kita mengeluh lemah. Menjadi manusia syukur tidak semudah merungkainya dengan kata-kata apalagi mempraktikannya.

Riwayat Nabi Ayyub as adalah pengajaran yang mudah sebagai perbandingan. Bayangkan, andai kata kita menjadi orang kaya, punya isteri cantik dan punyai anak-anak yang berjaya, kemudian Allah 'mengambilnya' semuanya, Apakah kita tidak tertekan? Namun, tidak demikian Nabi Ayyub as. Beliau sabar dan syukur tika diuiji Allah. Malah, beliau dimuliakan Allah setelah itu.

Ulser dan Uzlah
Sakitnya hanya Allah yang tahu. Seluruh tubuh diragut dari kestabilan normal. Malah dibelakang normal. Lalu, apa yang kita hendak lakukan? Mahu menuntut Tuhan? Melakukan perlarian yang tidak bermanfaat?. Kita hanya ada pilihan dengan mengatakan, Ya Allah...aku suka engkau menegurku! Engkau memerhatiku! Dan rasa sakit bagai tiada bila kita selalu berfikir akan kebesaranNya, maka kebesaran Allah akan masuk dalam hati kita.

Rm10 letakkan di dalam poket bukan di dalam hati. Agar mudah ia dikeluarkan.

Thursday, January 28, 2010

Wednesday, January 27, 2010

Zaman berzaman...

Bersama band; selepas menerima platinum sebagai finalis "Battle of the band Selangor" tahun 1990. dari kiri, Johari, Suhaimi, Rosli & Masri

“dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’ ayat 32)

Zaman remaja adalah sebahagiaan dari kegilaan. Saya merasai gila itu. Muzik rock adalah gila. Saya antaranya suatu ketika dahulu (zaman persekolahan). Tetapi, saya di sendal dalam fikiran; bila sudah rock jangan ada makwe (teman wanita) ia akan jadikan jiwa rock kita tumpul. Maka, saya amalkannya, memang tidak pernah bercinta atau berpacaran akibat dari dokrin itu. (nak jadi mat rock tulen lah katakan). Sehinggalah saya bertemu jodoh. Emmm… mungkin juga sebab saya tak hensem..he he.. takdak yang mahu..huhu. atau memang tak pandai langsung bab teman wanita. Memang ada yang bagi surat; nak berkawan katanya. Saya tak layan. (harap saya dapat dikategorikan sebagai lelaki di bawah naung Allah). Ada baiknya juga jiwa rock yang sebegini, ia dapat mengelak daripada hampir unsur zina.

Perform kat Kompleks PKNS Shah Alam, sekitar tahun 1990.(Saya selaku drummer; biasalah tersorok kat belakang tu..tawaduk)

Muzik bagi saya (ini cara fikir zaman dulu) adalah sebahagian kehidupan. Tanpa muzik hidup sunyi dan kosong. Kini saya sudah buang rasa itu ke sungai Kelang, ia hanyut entah ke mana. Nabi kita yang agung; Muhammad SAW mengajar, bukan itu cara hidup. Ulanglah selawat ke atasnya berkali-kali. Sesudah mengetahui ada darjat di syurga, buatlah amalan yang meninggikan darjat kita semua. Dan tinggalkanlah perkara yang tiada berkait dengan kita. Tulus dalam hidup adalah fundamental!

Zaman berzaman untuk kita semat rasa risau terhadap umat.


Siri BELAJAR ROMANTIS

Tiga Baik dan Tiga Buruk

Rasulullah pernah menjelaskan beberapa faktor menyemai kebahagiaan dalam rumah tangga terutama bagi suami.Antaranya adalah kehadiran wanita solehah di dalam rumah

Ada tiga perkara yang mampu membawa ke gerbang kebahagiaan dan tiga perkara lain mendorong ke arah kesengsaraan. Adapun kunci kebahagiaan: Isteri yang menarik hati, apabila ditinggalkan memberi rasa selamat akan kesuciannya dan keselamatan harta benda suaminya, binatang tunggangan, boleh menghantarkan ke rumah rakan-rakan dengan sebaik-baiknya dan rumah yang luas yang banyak penghuninya. Sementara tiga perkara yang menyengsarakan: Isteri yang menyusahkan suami dengan kata-katanya yang jahat, membuat perkara yang tidak baik apabila ditinggalkan sama ada kesucian dirinya mahupun keselamatan harta benda suaminya, binatang tunggangan yang sulit menghantarkan kita ke rumah saudara-saudara seiman dan rumah yang sempit yang sedikit penghuninya.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, II: 175, juga oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak. Beliau berkomentar, “Sanadnya sahih berdasarkan sistem periwayatan al-Bukhari dan Muslim.”)

Wanita yang solehah adalah wanita yang baik kepada sesiapapun yang ada di sekelilingnya dan menjadi sumber inspirasi bagi bermacam-macam kebajikan di alam sekitarnya serta lingkungannya, juga memberinya insiprasi agar sentiasa mempertahankan kesolehannya. Itulah sumber kebahagiaan sejati.

bersambung....

Tuesday, January 26, 2010

Hidup Sekali, bermanfaatlah selamanya...

Hari ini secara pukal, kita melihat akhlak orang Islam telah diambil oleh orang bukan Islam. Ini realitinya sekarang, walau dalam apa bidang sekali pun. Sepatutnya umat Islam harus melangkah dan memaknakan Islam dengan kemuliaan yang telah diberi Allah kepadanya.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah". (Surah Ali Imran, 110)

Bersemangat untuk mendapatkan kemuliaan dan kehormatan. Menatap keagungan dan kemenangan. Hidup dengan kondisi yang beragam memerlukan kekuatan yang terjangkau. Jika kita sebagai orang soleh, harus mengerjakan amal yang agung. Dan merealisasikannya. Datang dan pergi membawa pahala. Kadang kita dicela, kita merasakan ini sunah Nabi. Memang Nabi pun demikian hidupnya, kata kita. Kadang kita dicela, kita merasa tak dimuliakan masyarakat dan tidak bermanfaat.

"Barang siapa yang memberi contoh kebaikan dalam Islam, maka baginya pahala tersebut dan pahala orang yang melakukan kebaikan setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun" (HR Muslim)

Adakah semalam kita berpesan pada kebaikan...? Jika tiada, mulakan hari ini.

Monday, January 25, 2010

Andaiku punya kuasa SAKTI... kenal pembeza!


SUDAH TERBIT!

Harga RM15.00
Karya: Tn Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Harus diingat betapa dalam dunia yang serba canggih kini, pelbagai kekeliruan disogokkan oleh musuh Islam. Terkadang ada kalimah yang disangka benar, tetapi ia mengandungi kebatilan. Ada juga perbuatan kelihatan santun, tetapi sarat dengan kemungkaran. Semua ini andai tidak mampu diperhalusi berdasarkan Furqaan yang telah diwahyukan Allah pasti akan membawa kehancuran kepada umat Islam.
Justeru, hasil kupasan mengenai Furqaan diharap akan dapat menjelaskan lagi beberapa perkara yang harus dijadikan amalan hidup umat masa kini.
Tok guru Nik Abdul Aziz membawa kita mengenali sudut hak dan batil yang sesungguhnya. Mari kita selak naskah ini, agar dapatl kita menerobos celahan kesamaran.

www.kemilau.com.my

Friday, January 22, 2010

Bakal Terbit! Februari 2010

"Saat suami lebih menghargai isteri dan isteri menghormati suami" Sudah romantis, solehah pula.

Ketika seorang wanita telah menjadi isteri kepada seorang lelaki Muslim, maka wajib baginya menjaga dirinya sendiri, menghijabkan diri bukan hanya dengan selembar kain penutup kepala atau tudung yang menyelimuti seluruh tubuhnya tetapi juga menghijabkan hatinya daripada hasrat dan keinginan mahu menggoda lelaki lainnya.

Wanita akan menjadi semakin cantik di hadapan suaminya, ketika dia mampu menyimpan kecantikan itu untuk diri suaminya sahaja dan saat dia menghiasi dirinya dengan keindahan akhlak, kesucian hati dan kesantunan tutur katanya.

Wednesday, January 20, 2010

Pelancaran buku


Harapan saya, tenanglah pagi jumaat ni (22.1.2010). Krew Rijal Media sedang mengatur sesi pengWar-waran buku terbarunya. Lokasi di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu Kelantan.


Sesi terjahan ini hanya berharap pada Allah sahaja. Moga ianya menjadi, insyallah. Saya udah pakatan rakyatkan semua sahabat-sahabat di sana. Rakyat jelata yang maju bersama Tok Guru, sila ambil tempat anda sebelum buku ini langsai. Bagitau sahabat-sahabat dan jiran agar datang mengambil tempat dan beli.

Sunday, January 10, 2010

Maknakan perjuangan...


Secara ringkasnya, dalam merintis jalan mencari keredhaan dan ampunan Allah SWT, terdapat beberapa peringkat yang perlu ditempuhi oleh kita sebagai muslim. Saya maknakan kepada pertempuran atau perjuangan. Ini adalah kerana dalam menempuh peringkat perjuangan, ia merupakan sesuatu yang harus dilakukan dengan kesungguhan, teliti dan menuntut pengorbanan sama ada pengorbanan masa, harta dan sebagainya.

Jika anda mampu untuk bersengkang mata mengantung bendera, ini cukup bagus. Kerna ada muslim yang sanggup bersengkang mata hanya menonton perlawanan bolasepak.

Menghias tiang lampu dengan bulan!

Ulangkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, semoga dengan mengucapkan selawat dan salam ke atas RAsulullah SAW, akan bertambah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW serta perjuangannya. Semoga dengan kecintaan itu, akan menjadi asbab buat kita untuk memperolehi syafaat Rasulullah SAW di akhirat nanti.

Santai... menjamah kambing bakar setelah lelah memanjat tiang-tiang larangan!

Sahabatku semua, jangan banyak bercakap sahaja. Fokuskan kerja! Akan ditanya nanti kerja@amal. Maka, Allah akan membuat keputusan. Alhamdulillah, team Saujana Utama udah hidup semula. Tapi rasanya masih ada lagi yang tertinggal. Harap kejutkan mereka! Bukan nak mengajar, tapi nak mengejar makna perjuangan.


Monday, January 4, 2010

Terima kasih Tok Guru & Ustaz Nik Omar…

Setelah sekian lama mengumpul bahan dan memprosesnya, akhirnya siaplah skrip untuk dijadikan buku. Buku yang saya maksudkan adalah buku Tok Guru Nik Aziz. Kalau nak cerita bagaimana prosesnya, panjanglah. Jadi, pendekkan cerita saya bersama krew Rijal Media & The Backbone menerjah ke Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Tujuan: mendapatkan perkenan (tandatangan) Tok Guru menerbit buku beliau. Saya ingin telus dan terus.

Sebelumnya saya telah maklumkan hasrat kepada Ustaz Nik Omar (Anak Tok Guru). Beliau sedia menunggu kami, alhamdulillah. Risau ada juga dalam hati, sebab sekarang ni banyak sangat isu yang melanda. Berkat keikhlasan dan doa, semuanya menjadi mudah, harap terus mudah.

Usai solat asar berjamaah bersama tok guru (masjid Pulau Melaka), saya dilambai oleh Ustaz Nik Rahim (anak tok guru) tanda mengarahkan saya dan krew segera ke rumah. Rumah tok guru bersebelahan dengan masjid. Sampai di muka pintu tok guru menjemput kami masuk. Bersekali dengan kami seorang doctor (saya lupa namanya) dari KL. Dari perbualan mesra doktor dangan tok guru, saya agak mereka sudah lama saling mengenali. Sedang berbual beberapa minit, kami dihidangkan kueh lapis Sarawak (emmm…sedap, nak makan banyak malu) beserta minuman.

Bila tajuk perbualan bertukar, tok guru bertanya saya, “ada hajat apa? “Saya berkata, nak minta perkenan tok guru buat buku” lalu saya hulurkan naskah ‘mock’ dengan covernya sekali yang berkisar tafsir Al-quran. “Tok guru berkata, tafsir ni ada dua pusingan, tapi yang dulu lebih mantap”. Saya pun senyum sambil menghulurkan surat perjanjian untuk ditandatangani. Lalu beliau pun menurunkan tandatangan. Beliau mengarahkan saya berjumpa dengan Ustaz Nik Omar untuk tindakan selanjutnya. Selesai bersama tok guru, saya dijemput Ustaz Nik Omar ke rumah beliau yang tidak jauh dari situ. Saya menerangkan buku yang bakal diterbitkan. Ustaz Nik Omar merupakan pengetua Maahad Darul Anuar (MADA)

Sempat bergambar bersama Ustaz Nik Omar dan anak bongsu beliau

Saya rasa amat dihargai oleh tok guru dan ustaz Nik Omar. Terutama Ustaz Nik Omar. Bagi saya beliau seorang yang mesra dan mudah bersembang. Insyaallah, saya cuba sedaya-upaya membantu MADA dengan apa yang termampu.

Krew Rijal Media & The Backbone pulang dengan hati yang tenang serta pengalaman manis yang sukar dilupakan.